Author : Muhammad Faizol Bin Affandi / Bachelor of Mechanical Engineering (Manufacturing) with Honors.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Sebagai pembuka kata, aku ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kerana sudah bergerhana aku tidak mengetip abjad dalam bahasa Melayu. Mungkin struktur bahasaku akan kelihatan janggal tapi tidak mengapa dan layarkanlah perasaanmu di atas pengembaraan yang bakal kunakhodai.
Arena menara gading sungguh pun sangat mencabar apatah lagi apabila dirasuki dengan pandemik yang dikira mendahsyati seluruh dunia. Mengutip dan meniti di atas tali pembelajaran menara gading mengajari aku pelbagai benda yang mungkin tidak aku lupakan lebih-lebih lagi di DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.
Maka betullah dengan slogan Universiti, “Dari Industri Untuk Industri” itu dialami sendiri ketika detik-detik manis apabila pembelajaran bersemuka masih lagi aktif ketika dulu. Di bumi Pekan ini, aku merasai suasana bercampur baur bersama-sama pekerja di industri sekali gus dapat menyoal demi melangsaikan hutang tanda tanya yang kian ligat menghantui pemikiran.
Mungkin ada yang dihantui bakal menganggur apabila menggapai segulung ijazah kerana pekerjaanlah menjadi buruan graduan pada masa kini.
Setaraf pengalaman aku ketika mendengar pendapat dari pekerja industri, penantian menjadi suatu kemestian lebih-lebih lagi daripada graduan dari DRB-HICOM University kerana tunjang utama universiti aku.
Adakah aku berdolak dalih atau menambah perasa menyedapkan hati? Bayangkan revolusi perindustrian ini telah mengevolusikan teknologi agar lebih maju seiring mencipta kekosongan dan pekerjaan yang lebih banyak terhadap graduan. Penggunaan robot malah menjadi amalan seharian lebih-lebih lagi dari bidang pembuatan, perkilangan.
Ayuh kita fikir sejenak dan lebih menghayati. Setiap penggunaan robot sangat memerlukan algoritma atau program khusus untuk menyatakan suatu lokomosi atau pergerakan. Kemahiran mengatur program dan algoritma menjadi suatu kemestian yang diterapkan dalam kejuruteraan di universiti ini.
Kalaulah pencetusan Revolusi Perindustrian ini menyebabkan penggunaan kecerdasan buatan, artificial intelligence, jurutera teknologi juga sangat diperlukan untuk mengatur proses operasi dan penggerak, actuator. Penggerak pula terbahagi kepada banyak sendi buatan atau imitasi organ manusia yang diaplikasikan kepada robot.
Universiti ini juga sangat menitikberatkan kemahiran dalam bidang perniagaan. Malah, kalau diperhalusi tenaga kerja dalam industri, pasti ia akan mempunyai komposisi khusus bagi memuatkan tenaga kerja dalam bidang kewangan, pemasaran dan pengurusan kebajikan. Di situlah kemahiran graduan dalam bidang perniagaan dirasakan sangat perlu dan sangat relevan lebih-lebih lagi untuk masa kini.
Setiap menara gading pasti ada keindahan dan kemegahannya yang tersendiri. Mungkin ramai yang tidak menggemari suasana di DRB-HICOM University kerana tidak mempunyai keinginan kebanyakan orang muda seperti pusat membeli-belah, tempat bersosial dan restoran yang digemari ramai kecuali restoran makanan segera seperti McDonald’s.
Tapi bagi aku, suasana beginilah yang perlu aku rasai supaya aku mampu fokus terhadap agenda utama aku berada di sini. Kata orang, kalau kita tak rasa hilang, kita tidak akan bersyukur. Suasana ini mengajar aku erti perjuangan aku yang asal mengejar segulung ijazah.
Sekian sahaja perkongsian ini. Harap mampu membantu bagi yang mencari sama sepertiku.
